KUCHING, JUN 25 : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari memaklumkan kerajaan Sarawak akan memfokuskan program vaksinasi terutamanya di tempat kerja.
Hal ini demikian bagi menyelesaikan masalah jangkitan COVID-19 yang melibatkan tempat kerja kerana kebanyakan kluster yang ada datang dari tempat kerja.
“Kita hendak menyelesaikan masalah di tempat kerja kerana diantara bulan mei hingga 24 Jun tahun ini, kita melihat 25 kluster yang ada datang dari tempat kerja dan ia telah melibatkan 1765 kes. Dari kluster ini, ia boleh merebak, kerana para pekerja balik ke kampung dan tempat tinggal mereka dan berkemungkinan boleh membawa jangkitan,” katanya ketika turun padang hari ini untuk meninjau sendiri pusat pemberian vaksin (PPV) pusat beli belah di Kuching.
“Dengan itu, Sarawak memutuskan untuk untuk melakukan vaksinasi di tempat kerja. Saya juga berterima kasih kepada LONGI kerana telah berusaha menyediakan tempat ini (pusat vaksinasi). Diharapkan syarikat-syarikat di sini boleh mendapatkan vaksinasi,” tambahnya.
Turut hadir bersama Ketua Menteri ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Dalam pada itu, pemberian vaksin di PPV The Spring telah bermula pada Khamis, 24 Jun, dan seramai 400 individu telah menerima suntikan vaksin jenis Sinovac.
Seramai lebih kurang 20 sukarelawan yang terlibat di PPV The Spring yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM dan pelajar kolej yang tidak menghadiri kuliah buat tempoh ini.