KUCHING, 23 Nov: Enam pesta tahunan di Belaga diharap dapat disenaraikan sebagai acara dalam Kalendar Pelancongan Sarawak mulai tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, enam acara itu termasuklah Pesta Seni dan Kebudayaan Apau Koyan, Regatta Belaga, Pesta Do Ledoh (Kayan) dan Pesta Lepa Ajau Ladong Bio (Kenyah).
Selain itu katanya, terdapat juga Pesta Saviek (Kajang) dan Pesta Adet Tapo’ (Penan) yang berpotensi besar sebagai produk pelancongan di situ.
“Pesta-pesta kesenian dan kebudayaan etnik Orang Ulu yang unik ini amat berpotensi untuk menarik pelancong ke Sarawak dan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
“Oleh itu saya mencadangkan agar pesta-pesta ini dapat dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Sarawak dan Malaysia,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Pada masa sama, Kennedy Chukpai juga berharap agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Sarawak Tourism Board (STB) terus mempergiatkan promosi acara berkenaan.
Asas kepada saranan itu kata Kennedy Chukpai ialah kerana sektor pelancongan merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak.
“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mentransformasikan Sarawak sebagai destinasi utama untuk ekopelancongan dan acara perniagaan yang dipacu oleh komuniti bagi memulihara warisan, budaya dan biodiversiti,” ujarnya. -TVS