KUCHING, 23 Nov: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak diminta membantu usaha memperkasakan sektor penanaman padi di Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan aspek keselamatan makanan.
Parlimen: Sarawak dan Sabah setuju bangunkan estet padi berskala besar
Kata beliau, MFICORD juga perlu mengkaji benih padi baharu yang sesuai untuk ditanam di Meradong.
“Buat masa ini, tanaman di Sungai Padi menggunakan benih padi hibrid dari China manakala projek perintis telah disediakan dan pemerhatian awal sangat menggalakkan,” katanya ketika Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Tambah beliau, di kawasan itu juga terdapat dua projek mini estet padi di Sungai Tulai yang berkeluasan 446.74 hektar.
“(Selain itu) terdapat juga projek tanaman padi di Sungai Tekap dengan keluasan 215.27 hektar yang menjadikan keseluruhannya seluas 662 hektar,” katanya.
Namun ujarnya, projek mini estet padi sebelum ini tidak berjaya.
“Oleh itu saya berharap agar MFICORD boleh mengkaji projek rintis hibrid yang baharu sekali gus memperkenalkan hibrid dalam skala yang lebih besar,” tambahnya. -TVS