KUCHING, 23 Nov: Seorang wanita asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian seorang bayi di Batu Kawa, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan wanita berusia 23 tahun itu dilakukan oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan Balai Polis Batu Kawa.
Kata beliau, polis menerima maklumat daripada orang awam menemui penemuan seorang bayi di kawasan pembuangan sampah di Jalan Batu Kawa pada pukul 9.50 malam tadi.
“Sepasukan anggota dari JSJ IPD Padawan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah digerakkan ke lokasi.
“Pihak forensik IPK Sarawak dan Hospital Umum Sarawak (HUS) juga telah melaksanakan siasatan di tempat kejadian dan mayat bayi itu dibawa ke HUS untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. -TVS