GEORGE TOWN, 23 Nov: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan mengenai trend kes penderaan terhadap haiwan yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, hal itu perlu diberi perhatian dalam usaha menghentikan perlakuan tersebut apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang merekodkan 253 kes penderaan anjing pada 2022 berbanding 82 kes pada 2019, 86 kes (2020) dan 98 kes (2021).
Katanya, data JPV turut mencatatkan peningkatan laporan kekejaman terhadap kucing empat kali ganda iaitu 134 kes pada 2022 berbanding hanya 31 kes pada 2021 yang direkodkan di negeri ini.
“Selain itu, kuda, kambing, lembu, hamster dan arnab juga dimasukkan dalam senarai kes penderaan haiwan.
“Penderaan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti memukul, melemaskan, bersifat kebinatangan, meracuni, menembak, memukul, mencacatkan dan membiarkan kelaparan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohideen berkata, bilangan kes yang direkodkan bagaimanapun bukanlah penunjuk yang boleh dipercayai kerana angka sebenar kes penderaan tidak diketahui kerana tiada laporan dibuat.
“Antara insiden terbaharu termasuklah anjing liar yang cedera dipukul sehingga mati, anjing dipukul dan dibiarkan mati semasa diikat pada tali cawak, anak kucing yang disiram cat selain kaedah semasa yang digunakan pihak berkuasa untuk menangkap dan membunuh binatang liar.
“Mengabaikan situasi seperti ini hanya akan menggalakkan lebih banyak tingkah laku yang luar biasa dan penganiayaan terhadap haiwan tidak boleh dibiarkan,” katanya. – TVS