KUCHING, 23 Nov: Syarikat penerbangan butik milik Kerajaan Sarawak akan mula beroperasi setelah rundingan bagi proses pengambilalihan dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Darat) Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata ketika ini rundingan perkara berkaitan sedang dilaksanakan.
“Kerajaan Sarawak sedang dalam proses menjalankan usaha wajar terhadap MASWings Sdn. BHd dan berunding dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Berhad untuk memperoleh saham dalam MASWings,” katanya ketika menjawab soalan dari Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Jerip mendedahkan tujuan menandatangi Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan pada 20 Julai lalu adalah berkaitan proses Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
“Melalui MOU ini, Kerajaan Persekutuan diberi jaminan untuk meneruskan subsidi RAS, dan pemerolehan RAS oleh Kerajaan Negeri tidak akan menjejaskan RAS pada semua perjanjian RAS sedia ada supaya subsidi dan RAS dikekalkan pada masa ini,” katanya lagi.
Ujarnya lagi, berdasarkan Akta Malaysian Aviation Group 2015 Akta 771 sebanyak 40 laluan diluluskan sebagai laluan RAS yang merangkumi 30 laluan untuk dalam Sarawak, enam laluan untuk dalaman Sabah mankala empat laluan antara Sabah dan Sarawak. – TVS