KUCHING, 22 Nov: Proses pembinaan 40 menara telekomunikasi di Baleh dijangka siap sepenuhnya hujung tahun depan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, peruntukan projek berkenaan telah disalurkan oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, menara berkenaan akan beroperasi secara berperingkat.
“Ia tertakluk kepada tiada masalah izin lalu dan pengambilan tanah untuk tapak projek.
“Proses pengambilan balik tanah adalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Kanun Tanah Sarawak dan sekiranya terdapat tanah yang terlibat dengan tapak projek telekomunikasi, ianya tertakluk kepada tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sahih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nicholas Kudi Jantai (Gabungan Parti Sarawak – Baleh) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Tambah Liwan, kadar pampasan tanah berdasarkan kepada nilai pasaran yang telah dinilai oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. -TVS