KUCHING, 22 Nov: Penyediaan modul khas yang bersesuaian dengan minat belia dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah penting untuk menarik penyertaan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, ia akan menjadi lebih mudah untuk mendekati golongan itu.
“Dalam masa yang sama kita kena lihat bahawa kita kena tahu apa yang diminati oleh belia itu. Kita kena menyediakan modul khas. Bukan kita buat benda itu macam stereotaip, dia kena ikut itu.
“Tapi kita kenal pasti apa minat mereka, apa yang mereka suka. Jadi itu akan lebih memudahkan lagi belia belia ini didekati dan memahami hala tuju apa yang telah ditetapkan oleh kepimpinan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan untuk mewujudkan semula PLKN kerana katanya, program tersebut dapat membentuk jati diri para belia.
“Satu lagi dengan adanya program sedemikian, akan ada percampuran pelbagai kaum di tempat tersebut. Jadi di sini dia akan memupuk persefahaman dari segi pelbagai bangsa, pegangan agama.
“Jadi inilah benda yang terbaik. Malah kita, saya rasa di Sarawak memang ada acuannya tersendiri dalam membentuk golongan-golongan belia kita di bawah kementerian yang terbabit,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju meneruskan semula PLKN 3.0 yang merangkumi dua fasa.
Hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil untuk menjalani khidmat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekiranya ia dilaksanakan pada 2024. – TVS