KUALA LUMPUR, 21 Nov: Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon percaya Malaysia berhak untuk menang apabila mengatasi Taiwan 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Taiwan, malam tadi.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, bahawa pasukan Blue Wings itu berjaya memberikan saingan yang sukar tetapi pemain Harimau Malaya lebih berazam untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Kami sudah jangkakan perlawanan malam ini sukar…kami sudah tahu kekuatan, disiplin, fizikal dan semangat juang pemain-pemain Taiwan tetapi saya rasa semangat kami sedikit lebih tinggi daripada mereka.
“Saya amat bangga dengan semua pemain kerana berjaya melalui rintangan yang sangat sukar ini, kami kini satu langkah lebih dekat ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, saya sangat bangga dan menghargai semua pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Perbandaran Taiwan.
Mengulas lanjut, beliau menafikan bahawa pemain gantian, Darren Lok dan Endrick Dos Santos pada separuh masa kedua telah menjadi penentu perlawanan dan mengubah permainan dan menyifatkan kemenangan terhasil menerusi sumbangan semua pemain.
Pan Gon berkata, pemain telah menunjukkan keazaman sejak separuh masa pertama tetapi kurang bernasib baik untuk mendahului pada awal perlawanan.
“Kemenangan ini datang daripada semua pemain dan bukan individu, saya rasa pasukan kami memiliki semangat dan keinginan untuk melangkah ke pusingan seterusnya,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu.
Sementara itu, beliau berkata, bola kelihatan lebih ringan daripada biasa, padang lebih keras dan kecergasan pemain sedikit berkurangan berbanding perlawanan sebelum ini menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lalu.
Pada pertembungan malam tadi, Darren yang dibawa masuk menggantikan Paulo Josue pada minit ke-62, muncul wira Malaysia apabila menghadiahkan gol kemenangan pada minit ke-72.
Kemenangan malam tadi adalah kemenangan pertama Malaysia di Taiwan selepas kalah dalam tiga perlawanan terakhir mereka di sana yang bermula pada tahun 2000.
Selepas ini, Harimau Malaya dijadualkan bertemu Oman di tempat lawan pada 21 Mac tahun depan dan menjadi hos kepada pasukan itu pada 26 Mac, diikuti berdepan Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum kembali menerima kunjungan Taiwan pada 11 Jun. -TVS