KUCHING, 21 Nov: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik pemberian baucar buku RM500 dan komputer riba percuma kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Sarawak yang berkelayakan.
Presidennya, Zulkiflee Sebli berkata, inisiatif berkenaan mampu meringankan beban ibu bapa selain meningkatkan kemudahan pembelajaran pelajar.
Jelasnya, pelajar perlu menggunakan bantuan berkenaan dengan sebaiknya di samping menjadi dorongan kepada mereka untuk terus berjaya dalam pendidikan.
“Ibu bapa sememangnya amat berharap bantuan daripada kerajaan dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan 2024 semalam berkata, sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif berkenaan.
Kata beliau, bantuan itu dijangka akan memanfaatkan 5,000 pelajar selain selari dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan pelajar dengan teknologi.
Sementara itu, Zulkiflee menambah, sekiranya inisiatif berkenaan diperluaskan kepada semua pelajar IPT tanpa mengira had pendapatan ibu bapa, ia lebih adil.
“Ini kerana terdapat ibu bapa yang mempunyai ramai anak (yang bersekolah dan menuntut di IPT).
“Saya turut berharap agar lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak bagi mengurangkan bebanan kewangan rakyat,” katanya. -TVS