KUALA LUMPUR, 21 Nov: Kementerian Belia dan Sukan sentiasa berusaha gigih menyediakan peluang kepada bekas atlet kurang upaya untuk terus meningkatkan taraf hidup termasuk peluang menjana pendapatan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, usaha ini akan terus dipergiat termasuk meneroka kerjasama berterusan dengan badan korporat.
“Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek kebajikan bekas atlet yang telah mengharumkan nama negara, termasuk atlet kurang upaya.
“Di pihak Kementerian, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah diberikan tanggungjawab untuk membantu menguruskan aspek kebajikan bekas atlet kurang upaya.
“Pada masa ini seramai 184 bekas atlet kurang upaya terdiri daripada 141 lelaki dan 43 wanita telah berdaftar sebagai ahli YAKEB,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Aminuddin Harun pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Katanya, YAKEB juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang bermatlamat untuk menjana pendapatan bekas atlet, termasuk atlet kurang upaya.
“Misalnya melalui kerjasama dengan Institut Sukan Negara, YAKEB telah menganjurkan program kursus kejurulatihan khusus untuk bekas atlet kurang upaya mengembangkan karier dalam lapangan kejurulatihan.
“Pada tahun ini, seramai 15 atlet kurang upaya terlibat dalam Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 2 yang dianjurkan dari 24 hingga 28 Julai 2023,” tambahnya. -TVS