KUALA LUMPUR, 21 Nov: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memainkan peranan penting mengukuhkan kerjasama antarabangsa, meskipun berdepan kebimbangan susulan ketegasan Malaysia terhadap Palestin di Persidangan Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, ketegasan beliau dalam menyuarakan gesaan untuk menghentikan penindasan terhadap peperangan yang berlaku di antara Palestin dan Israel pada persidangan APEC dikhuatiri memberikan kesan kepada kedudukan ekonomi Malaysia.
“Tentunya sebagai orang bertanggungjawab kepada negara terutamanya ekonomi, kita juga mengambil kira dan prihatin dalam urusan ini.
“Sebab itu dalam semua kegiatan kita yang lain, kita memberikan tumpuan kepada kementerian MITI untuk menjalinkan hubungan dan mempertahankan apa yang disebut sebagai inclusivity dan sustainability sebagai strategi di Asia Pasifik,” kata Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai hasil mesyuarat APEC di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan minta Perdana Menteri menyatakan hasil mesyuarat Persidangan Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi mengenai jenayah dan pembasmian kaum (genocide) yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan apakah hasil yang memanfaatkan negara sepanjang lawatan ke -30 APEC. -TVS