KUCHING, 20 Nov: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Sarawak 2023 selepas bacaan kali ketiga hari ini.
RUU berkenaan yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan petang tadi dibahaskan selama hampir dua jam dengan seramai 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian.
Menerusi persetujuan sebulat suara ketika sesi undian seperti diumumkan Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang meluluskan RUU Ombudsman.
Terdahulu, Awang Tengah ketika membentang RUU berkenaan berkata, ia akan membolehkan orang awam melaporkan salah guna kuasa oleh agensi perkhidmatan awam Sarawak dengan lebih telus.
RUU berkenaan antara lain memberi kuasa penyiasatan yang meluas, termasuk membenarkan saksi memberikan maklumat, mengeluarkan dokumen, penangkapan dan menjalankan siasatan dan serbuan.
Antara yang mengambil bahagian dalam perbahasan termasuklah ADUN Beting Maro, Bukit Assek, Tellian,Katibas, Baleh, Padungan, Tanjung Batu, Kabong, Ba’Kelalan, Opar dan Lingga.
Turut menyertai sesi itu ADUN Daro, Tamin, Murum, Maradong, Repok, Kota Sentosa, Batu Kitang, Tupong,Bukit Semuja, Ngemah dan Engkilili.
Kepada persoalan dibangkitkan Chong Chieng Jen (DAP – Padungan) sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertakhluk kepada RUU berkenaan, Awang Tengah berkata, mereka juga tidak ‘terkecuali’.
Sementara itu, Awang Tengah menjelaskan mengenai isu pengecualian, rujukan dibuat berdasarkan tujuh RUU Ombudsman di Sweden, Norway, New Zealand, Kanada, Hong Kong, New South Wales (Australia) dan Filipina.
Selain itu katanya, penubuhan Ombudsman Sarawak adalah berdasarkan undang-undang yang diperuntukan di bawah Perkara 7 Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Sarawak memutuskan untuk mewujudkan ordinan berkenaan bagi meningkatkan standard akauntabiliti dalam pentadbiran awam selepas mengambil kira kejayaan Sweden.
“Untuk tujuan tersebut, Sweden telah dipilih menjadi model kepada penubuhan Ombudsman Sarawak. Satu pentadbiran kerajaan yang berlandaskan kepercayaan serta rasa hormat rakyat, dan menyediakan platform bagi memastikan kelestarian kerajaan negeri,” katanya. -TVS