KUCHING, 20 Nov: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan bantuan Bakul Kasih kepada 120 ketua keluarga dan bantuan kelengkapan sekolah kepada 150 pelajar di Zon Santubong pada Program Karnival Masjid Makmur Ummah Sejahtera malam tadi.
Penerima bantuan Bakul Kasih meliputi ketua keluarga dari Kampung Santubong, Kampung Sungai Lumut, Kampung Pasir Pandak, Kampung Rampangi, Kampung Salak dan Kampung Buntal.
Selain itu, pelajar yang menerima sumbangan kelengkapan sekolah terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Santubong, SK Buntal, SK Pasir Pandak dan SK Salak.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi kepada penerima di Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong.
Program anjuran bersama Majlis Islam Sarawak (MIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka turut dihadiri lebih 500 umat Islam.
Orang ramai mula memenuhi masjid berkenaan sekitar 6 petang untuk menunaikan solat Maghrib dan Isya berjemaah serta mendengar ceramah perdana ‘Rasulullah Ikon Ummah’ yang disampaikan pendakwah terkenal, Profesor Madya Dato Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Dalam pada itu, penganjuran karnival tersebut bertujuan untuk meningkatkan hubungan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan komuniti Zon Santubong di samping melahirkan semangat cintakan masjid dalam kalangan masyarakat.
Untuk rekod, karnival tersebut turut mengadakan aktiviti seperti Qari Cilik, Bilal Cilik, pertandingan mewarna, pertandingan gubahan buah, klinik Al-Fatihah dan Qiraat, Klinik Fiqh Wanita dan pameran agensi serta institusi. – TVS