KUCHING, 20 Nov: Kumpulan Sanggar Singkalang muncul juara keseluruhan Pertandingan Tarian & Lagu Melayu Asli 2023 pada malam kemuncak Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) ke- 33 yang diadakan di Hikmah Exchange Event Centre di sini, malam tadi.
Menerusi kemenangan itu, kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor itu membawa pulang wang tunai bernilai RM 7,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.
Menurut ketua kumpulan, Adrian Danel, 17, kumpulan itu melakukan latihan setiap hari selama dua jam dari jam 7 hingga 9 malam sebagai persediaan sebelem menyertai pertandingan itu.
“Kami memang setiap hari berlatih. Pada waktu malam kami makan (bersama) dan berlatih.
“Kami semua pelajar sekolah berasrama dan kami berlatih setiap hari sehingga tidak balik ke kampung (rumah masing-masing),” katanya kepada TVS selepas pertandingan itu.
Pelatih kumpulan tari ini Guru Pendidikan Seni Visual (PSV), Cikgu Wellingson Kuling, 32, menjelaskan beliau mengambil masa lima bulan untuk berlatih dan membuat kajian menerusi perbincangan bersama orang-orang lama sebelum mencipta koreografi tarian tersebut.
Ditanya perancangan kumpulan itu pada masa akan datang, beliau menjelaskan akan memperbaiki lagi teknik latihan bagi menghadapi pelbagai lagi pertandingan lain.
“Perancangan saya selepas merehatkan penari adalah untuk mencari idea baharu berdasarkan apa yang dikomen oleh juri dan mengambil yang baik dan membuang apa yang buruk,” ujar beliau.
Tempat kedua dimenangi oleh Majestic Shades Dancers yang membawa pulang wang tunai RM 5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan manakala kumpulan Adang Tebengang muncul tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM RM 3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyempurnakan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan.- TVS