KUALA LUMPUR, 19 Nov: Generasi muda di Sri Aman dilihat berpotensi dalam pelbagai bidang sehingga ada yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa, kata ahli parlimennya, Dato Sri Doris Sophia Brodi.
Sehubungan itu beliau mahu golongan belia di situ mengambil peluang untuk terlibat dalam pembangunan di kawasan itu.
Katanya meskipun Sri Aman masih belum mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap seperti di bandar besar, namun usaha itu sudah bermula.
“Saya percaya kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik, air dan internet akan mewujudkan sinergi di antara masyarakat dengan pihak industri, seterusnya dapat mewujudkan lambakan peluang pekerjaan.
“Oleh itu, anak muda Sri Aman mesti mengambil inisiatif dan mempunyai kreativiti malah sanggup untuk melakukan melakukan perubahan untuk berjaya pada masa hadapan,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Berkenaan bakat dimiliki warga Sri Aman, Doris Sophia berkata, petinju sensasi negara, Daeloniel Mcdelon Bong atau digelar ‘kilat boy’ berjaya mengharumkan nama Sri Aman dan Sarawak sekali gus menjadi contoh kepada belia di situ.
“Beliau sudah menjadi ikon di Sri Aman dan mungkin saya akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sana bagaimana untuk kita menghargainya seperti pembinaan arca atau sebagainya,” kata beliau.
Selain itu Doris Sophia berkata, Sri Aman juga telah melahirkan seorang lagi jaguh sukan terkenal bina badan iaitu Buda Anchah yang turut berjaya diperingkat antarabangsa.
“Oleh itu saya mahu anak muda di Sri Aman mencontohi kedua-dua ahli sukan yang berjaya ini serta tidak mudah berputus asa,” katanya. – TVS