PADAWAN, 19 Nov: Penganjuran perlumbaan kereta pacuan empat roda Cabaran 4×4 Padawan yang dijadual tahun depan dijangka akan merancakkan aktiviti sukan permotoran di sini.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, acara berkenaan juga dapat memperkasa ekonomi penduduk setempat.
Kata Willie, penganjuran acara itu sebenarnya sudah lama dirancang namun terpaksa ditangguhkan akibat penularan pandemik COVID-19.
“Masa terbaik (untuk penganjuran Cabaran 4×4 Padawan) ialah ketika musim kering, mungkin pada Mac atau April sebelum Hari Gawai.
“Ini menjadi sasaran kita dan berharap akan menjadi realiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Padawan 4×4 Adventure Off Road Track di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Willie berkata, perancangan untuk menganjurkan sukan lasak itu juga tercetus hasil pungutan suara dan maklum balas peminat kenderaan pacuan empat roda
Katanya, penganjurannya akan membuka ruang kepada kelab – kelab yang terlibat untuk menimba pengalaman dan seterusnya dapat menganjurkan acara sama pada skala yang lebih besar.
Sementara itu, beliau yakin pembukaan trek perlumbaan berkenaan mampu memperkasakan ekonomi setempat sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
“Menerusi sukan pemotoran, program-program yang dianjurkan di litar secara tidak langsung akan membuka peluang perniagaan makanan dan kelengkapan sukan pacuan empat roda yang digunakan,” katanya. -TVS