BEIJING, 19 Nov: Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata pihaknya akan mempercepat proses susulan untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.
Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan beberapa tindakan susulan bagi memastikan proses membawa keluar mangsa dapat dilakukan dengan lebih mantap.
“Bagi pihak Wisma Putra, kita amat gembira apabila beberapa isu telah dibincangkan sewaktu lawatan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Fadillah (Yusof) dan telah mendapat persetujuan.
China beri komitmen bantu keluarkan mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar – Fadillah
“Untuk kes yang berlaku di Myanmar, hasilnya amat positif apabila kita dapat menjalin kerjasama dengan China,” katanya ketika menghadiri sidang media Fadillah semalam yang mengakhiri lawatan rasmi beliau ke China dan dijangka pulang ke tanah air hari ini.
Terdahulu, Fadillah berkata China telah memberikan komitmen untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.
“Apabila terlibat dengan jenayah penipuan ini, mereka tidak mempunyai pasport dan tidak dapat keluar dari negara berkenaan maka kita berusaha dengan apa sahaja prosedur untuk membawa mereka balik,” katanya. -TVS