SERIAN, 19 Nov: Cawangan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) akan ditubuhkan di Teng Bukap, Padawan bagi membantu memperkasakan komuniti setempat melalui pendidikan kemahiran dan kursus jangka pendek.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ke arah itu, dana RM5 juta telah dipohon melalui Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi membangunkan prasarana pusat tersebut.
Jelas beliau, proses pengambilan tanah dan pengubahsuaian bangunan Pejabat Daerah Kecil Padawan yang akan dijadikan pusat tersebut telah dibantu beberapa pihak lain antaranya kementerian beliau sendiri serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak
“Kita membangunkan CENTEX (di Padawan) kerana potensi yang ada memandangkan tidak jauh dari sini iaitu sekitar lima kilometer, tempat pakar Keringkam.
“Pakar boleh membuka ruang kepada orang lain untuk belajar di samping berkongsi pengalaman mereka kepada orang lain, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena penangguhan program Community Technology Outreach (CTOP) di Dewan Serbaguna Kampung Pesang di sini malam tadi.
Majlis itu diadakan bagi meraikan 60 peserta dari sembilan buah kampung di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, antaranya Kampung Pesang, Kampung Subang dan Kampung Begu yang menyertai kursus teknikal sehari yang dianjurkan CENTEXS semalam.
Menerusi kursus itu, pelbagai bidang diajar kepada penduduk kampung termasuklah aspek pemasaran dan perniagaan digital, kursus jahitan manik dan kelas membuat kuih bingka.
Turut hadir, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Azmi Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussein. -TVS