KUCHING, 18 Nov: Kerajaan Sarawak giat bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Sarawak dalam meningkatkan taraf dan kualiti profesion serta persekitaran binaan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata PAM Sarawak terlibat secara aktif dalam perbincangan dengan Majlis Perancangan Negeri (SPA) dalam penggubalan garis panduan dan dasar perancangan di negeri ini.
“Sebab itu dalam kecemerlangan dan pembangunan, ia bukan sahaja memerlukan pemain industri atau pelaksana, tetapi juga memerlukan dasar.
“Kita (pemain industri) di sini menyokong dasar yang dibuat, sebab itu bertuah kerana PAM Sarawak dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Forum Reka Bentuk yang diadakan sempena Festival Reka Bentuk Pertubuhan Akitek Malaysia Sarawak Chapter (PAMSC) 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, arkitek sebagai perunding utama dalam banyak pembinaan atau pembangunan, bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan projek dilaksanakan dengan lancar dan tidak memihak secara kontrak antara kontraktor dan pelanggan.
“Di bawah Ordinan Bangunan Sarawak 1994 semasa, arkitek bertanggungjawab sepenuhnya sebagai Orang Berkelayakan untuk membuat persediaan bagi Penyerahan Pelan Bangunan, pemberitahuan dan pensijilan Permit Menduduki (OP).
“Ini bagi memastikan sesebuah bangunan itu selamat untuk diduduki oleh orang ramai di bawah undang-undang,” katanya.
Bercakap mengenai Forum Reka Bentuk, Dr Sim berkata ia merupakan landasan terbaik untuk pemain industri berkongsi idea dan bertukar pendapat sejak dianjurkan lebih 10 tahun lalu.
Menurut beliau lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam forum berkenaan tahun ini termasuk dari Brunei dan Indonesia.
Beliau berharap program kerjasama kreatif itu dapat diperluaskan sekali gus menjadi acara penanda aras untuk Reka Bentuk Lestari di Borneo. – TVS