KUCHING, 17 Nov: Perbezaan pendapat antara Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berhubung isu pelarian Palestin ke Sarawak diselesaikan secara pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin berkenaan hari ini.
Menurut Nanta kata sepakat terhadap penyelesaian isu tersebut tidak membawa ke arah yang lebih serius.
“Secara peribadinya, anda boleh memetik kenyataan saya kerana isu ini agak sensitif. Kita juga mempunyai orang di sekeliling kita dan sampai satu tahap, apabila ia sudah ‘meletup’ kita tidak mahu perkara ini menjadi lebih buruk.
“Karim dan saya merupakan adik-beradik di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Apa yang lebih penting untuk kami adalah untuk melindungi kepimpinan parti terutamanya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Kerajaan negeri kini melakukan yang terbaik untuk rakyatnya,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Karim pada Jumaat.
Nanta dalam pada itu menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk menggugat keharmonian di dalam parti malah di negeri ini.
Pada masa sama Nanta berharap agar masyarakat Kapit tidak akan meneruskan aktiviti tunjuk perasaan yang dikatakan akan berlangsung pada Isnin ini.
Pada perkembangan sama, Abdul Karim ketika ditemui berkata beliau dengan Nanta tidak mempunyai sebarang masalah malah menyifatkan perbezaan pendapat itu ibarat ragam dalam rumah tangga.
“Tiada apa yang merenggangkan kami tetapi yang paling penting, adalah parti rakyat Sarawak. Kami mahu melihat keharmonian rakyat Sarawak dalam setiap lapisan masyarakat.
“Dalam perkara sama, paling penting ialah kami berharap agar usaha pihak yang cuba memecah-belah atau melaga-lagakan cerita itu tidak akan terjadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Whip Dewan Undangan Negeri (DUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Ibrahim Baki yang turut menyaksikan pertemuan empat mata itu berkata, PBB merupakan parti yang mengamalkan toleransi, solidairiti dan perpaduan yang merupakan antara kepercayaan utama dalam perjuangan parti tersebut. – TVS