KUCHING, 17 Nov: Perbincangan berhubung pengambilalihan syarikat penerbangan MASWings masih dijalankan antara Khazanah Nasional, Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), kata Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah.
Menurutnya perbincangan setakat ini berkaitan laluan penerbangan serantau kerana sebelum ini MASWings hanya menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara untuk kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
“Saya difahamkan semua pihak terlibat masih lagi berbincang secara menyeluruh mengenai usaha wajar antara kerajaan Sarawak dan juga Khazanah dan juga MOT.
“Bagaimanapun keputusan daripada perbincangan tersebut dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Radar di Bawah Projek Penggantian dan Menaik taraf Sistem Pengurusan Trafik Udara Sabah dan Sarawak (KKFIR) di Stesen Radar Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia di sini, hari ini.
Hasbi menambah walaupun MASWings telah diambil alih oleh Sarawak, subsidi bahan api bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang berjumlah RM209 juta akan tetap diteruskan untuk tahun berikutnya.
Ia bagi membolehkan kesalinghubungan kawasan-kawasan terbabit menurutnya yang hanya boleh dihubungi menerusi laluan udara dapat diteruskan seperti biasa.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau memberitahu projek KKFIR yang dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM183 juta bertujuan untuk melengkapkan sistem pengawasan radar dan liputan ruang udara secara menyeluruh di Sarawak dan Sabah.
Menurut beliau, di bawah skop projek tersebut, kerajaan meluluskan kerja menaik taraf sistem dan pemasangan peralatan trafik udara seperti Primary Surveillance Radar/Secondary Surveillance Radar (PSR/SSR) dan Automatik Defendent Surveillance-Broadcast (ADS-B). -TVS