KUCHING, 17 Nov: Pesta Regatta Telaga Air 2023 bakal berlangsung pada 1 hingga 3 Disember depan di Pesta Regatta Telaga Air 2023 di Esplanade Telaga Air di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis acara yang julung kali diadakan itu akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri ini.
Menurut Abdul Karim, Telaga Air juga akan dimeriahkan dengan kehadiran jumlah pengunjung yang ramai sekali gus meransang sosioekonomi setempat.
“Apa yang hendak saya maklumkan di sini adalah untuk julung julung kali akan dilakukan apa yang kita panggil Pesta Regatta Telaga Air 2023.
“Saya dapat melihat semakin ke hujung acara acara lebih meriah dan ia sedikit sebanyak akan membantu komuniti,” katanya pada sidang media Pesta Regatta Telaga Air 2023 di sini pada Jumaat.
Abdul Karim menambah, meskipun prasarana di sana masih jauh ketinggalan berbanding bandar raya Kuching namun beliau yakin Telaga Air suatu hari nanti mampu menjadi antara lokasi utama bagi sukan regata Sarawak.
Tambahnya kesesakan lalu lintas di Kuching akan menjadikan Telaga Air sebagai pilihan dan pusat aktiviti sukan air bahagian Kuching.
“Insya- Allah dari pihak kementerian kita akan usahakan untuk membangunkan pesta Telaga Air ataupun regatta Telaga Air ini ke peringkat yang penting.
“Satu hari nanti regatta Sarawak sudah menjadi acara besar dan tidak sesuai untuk diadakan di bandaraya Kuching kerana kesesakan lalu lintas,” ujarnya.-TVS