KUCHING, 17 Nov: Tiga bot nelayan Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit yang sah di perairan perikanan Malaysia sekitar 6.05 pagi, Selasa lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, KM Kota Kinabalu ketika dalam Op Permai, Op Tiris dan Op Kuda Laut mengesan tiga bot nelayan asing di kedudukan lebih kurang 110 batu nautika Barat Laut Tanjung Kidurong.
“Setelah merapat dan melakukan pemeriksaan terhadap ketiga-tiga bot terbabit, anggota Maritim Negeri Sarawak mendapati terdapat tiga kru termasuk tekong warga Indonesia dalam setiap bot,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga bot terbabit tiada nombor pendaftaran.
Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan ketiga-tiga bot berkenaan didapati memasuki PerairanMalaysia bagi tujuan menangkap ikan.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua sembilan kru warga asing dan bot berkenaan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat,” ujarnya. – TVS