KUCHING, 17 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat menitikberatkan keselamatan dan keamanan negeri, kata Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Adnan Hashim.
Menurut Adnan, antara isu-isu yang diberi perhatian adalah pencerobohan daripada pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan barang-barang dan jenayah rentas sempadan.
“Hasil daripada pertemuan ini kami dapat pencerahan daripada Premier tentang keselamatan sempadan yang melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk menjaga persempadanan Sarawak dan juga Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Adnan berkata lagi, Premier turut berkongsi tentang keperluan penambahan aset-aset yang dapat membantu TDM menjalankan tugas di sepanjang sempadan Sarawak dalam menentukan keamanan keselamatan.
“Perbincangan tersebut juga memberi impak yang tinggi terhadap pasukan keselamatan terutama TDM untuk mengurus dan menyelesaikan isu-isu keselamatan sama ada di Laut Cina Selatan atau di persempadanan,” katanya. – TVS