Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Angkatan Pertahanan Awam menyenaraikan 1,066 lokasi di Sarawak sebagai kawasan berisiko banjir. Foto hiasan

Angkatan Pertahanan Awam kenal pasti lebih 5,000 kawasan berisiko banjir seluruh negara

ByBernama

KUALA NERUS, 17 Nov: Sebanyak 5,648 kawasan berisiko banjir dikenal pasti di seluruh negara pada musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata ia melibatkan 1,066 lokasi di Sarawak, Sabah (798 lokasi), Pahang (750 lokasi), Johor (745 lokasi), Kelantan (617 lokasi), Perak (286 lokasi) dan Selangor (271 lokasi).

Kawasan lain termasuk 260 lokasi di Kedah, Terengganu (258 lokasi), Pulau Pinang (241 lokasi), Melaka (124 lokasi), Negeri Sembilan (120 lokasi), Kuala Lumpur (73 lokasi), Perlis (22 lokasi) dan Labuan (17 lokasi).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk di kawasan terlibat supaya sentiasa berwaspada dan menyiapkan semua dokumen penting dan barang kecemasan seperti ubat-ubatan, lampu suluh dan pakaian lebih awal untuk dibawa sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.

“Setiap ketua isi rumah dinasihatkan menyediakan beg ‘Ready To Go’ yang di dalamnya dah disimpan segala dokumen penting dan barang keperluan kecemasan. Jika berlaku bencana terus ambil beg tersebut untuk ke tempat lebih selamat.

“Selain itu, tolong patuhi nasihat dan beri kerjasama kepada anggota keselamatan kerana mereka bertugas untuk menyelamatkan nyawa anda,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Watikah Pegawai Bersekutu, Pingat, Riben Separa Perkhidmatan serta Sijil APM kepada 83 penerima di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata APM juga telah mengadakan sebanyak 6,266 siri latihan kecemasan dan persediaan banjir kepada orang awam tahun ini.

Menurutnya, ia melibatkan 350,474 individu terdiri daripada pemimpin masyarakat, penduduk kampung, pelajar institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah yang dijalankan secara berperingkat.

“Dengan adanya latihan dan pendedahan sedemikian, kami harap mereka boleh memberi respons awal sementara menunggu anggota penyelamat datang membantu mereka.

“Respons awal ini amat penting supaya mereka tidak panik, dapat mengawal situasi dan memudahkan kerja menyelamat oleh anggota keselamatan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan