BEIJING, 16 Nov: China memberikan komitmen untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan di Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pihak China dan Malaysia akan memperincikan bagaimana proses bagi membawa mereka keluar dari Myanmar melalui negara Negara Tembok Besar itu dapat dilaksanakan.
“Pihak Malawakil kita akan buat follow up bagaimana kita akan mempermudahkan kaedahnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Fadillah yang dalam lawatan rasmi sulung ke China dari 12 hingga 19 Nov, mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China Yu Jianhua dan Naib Premier China Liu Guozhong di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata difahamkan terdapat puluhan atau mungkin ratusan kes penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia di Myanmar.
“Apabila terlibat dengan jenayah scam ini, mereka tidak mempunyai pasport dan tidak dapat keluar dari negara berkenaan, maka kita berusaha dengan apa sahaja prosedur untuk membawa mereka balik,” katanya. -TVS