KUALA LUMPUR, 16 Nov: Penganjuran konsert di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) perlu selari dengan perundangan negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, penganjur juga perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kata beliau, syarat berkenaan ‘terpakai’ terhadap penganjuran konsert melibatkan artis tempatan atau luar negara.
“Sudah tentu dalam memberi pertimbangan meluluskan pemohonan mengadakan konsert, kita harus selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan soal agama,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohd Yusof turut memaklumkan, tiada kampus yang menganjurkan konsert tanpa kelulusan KPT setakat ini.
“Tidak berlaku penganjuran konsert tanpa kebenaran, makanya tidak adalah tindakan yang diambil setakat ini,” ujarnya lagi.
Tambahnya semua IPT membangunkan sendiri garis panduan masing – masing malah terdapat IPT yang menjadikan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT oleh kementerian sebagai panduan dalam proses penambahbaikan atau penggubalan garis panduan mereka. – TVS