Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sidang Parlimen dimaklumkan yang kerajaan menggariskan tiga strategi utama bagi menangani masalah kekurangan beras putih tempatan di seluruh negara.Foto hiasan, Envato.

Parlimen: Langkah intervensi diambil tangani isu bekalan beras

ByLuqman Muhammad

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Kerajaan menggariskan tiga strategi utama bagi menangani masalah kekurangan beras putih tempatan di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, strategi tersebut ditambah dengan empat langkah intervensi lain bagi memastikan bekalan mencukupi pada masa hadapan.

Kata beliau, pemerkasaan edaran Beras Putih Tempatan akan dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi meningkatkan pengedaran di kawasan pinggir bandar dan luar bandar termasuk kedai-kedai runcit.

Penanaman padi di Sri Aman guna teknologi baharu, keluarkan hasil tiga kali setahun – Abang Johari

“(Selain itu kerajaan juga melaksanakan) pemberian subsidi sebanyak RM950 per tan metrik bagi beras putih import (BPI) di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak mulai 5 Oktober 2023.

“Melalui kaedah ini, harga runcit BPI di Sabah dan Sarawak akan menjadi pada kadar harga maksima RM31 bagi setiap kampit 10 kilogram (kg),” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (Pakatan Harapan – Damansara) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu beliau memaklumkan, bagi memastikan pembekalan perolehan di bawah kontrak kerajaan akan menggunakan BPI di mana pembekal boleh mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 per tan metrik (harga pintu gudang) dan ianya tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Kementerian juga melancarkan Pasukan Tindakan Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang diketuai oleh Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan menyeluruh di semua peringkat rantaian pembekalan BPT termasuk kilang-kilang besar dan stor-stor pemborong serta peruncit,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan akan memperluaskan lagi pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) terutamanya model Ala Sekinchan ke seluruh negara.

“(Ini termasuk) menambah keluasan jelapang padi negara terutamanya di Sabah dan Sarawak, meluaskan rangkaian penyelidikan dan pembangunan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), institusi pengajian tinggi dan sebagainya,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan