KUCHING, 16 Nov: Seorang ibu tunggal, Penny Ajan berasal dari Kapit mengusahakan produk kraf tangan manik sebagai punca utama pendapatan bagi menyara keluarganya.
Usahawan berusia 34 tahun itu memulakan perniagaannya sejak 2017 selepas menyertai kursus pembuatan kraf tangan.
“Perniagaan ini sebenarnya bermula dari minat. Saya sememangnya minat membuat kraf tangan. Saya telah menyertai kursus pembuatan kraf pada 2007 dan kemudiannya berlatih membuat kraf manik sendiri.
“Setelah itu, saya mengambil keputusan untuk mengusahakan produk-produk kraf saya, bermula di Market Teresang Kapit. Sekarang menjualnya di kedai saya bernama Penny Lovely Crafts,” katanya ketika ditemui TVS sempena Produk Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) Zon Tengah di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Penny yang juga mahir menggunakan media sosial seperti Facebook untuk mempromosikan produknya membolehkan hasil tangannya menerima tempahan kraf daripada pelanggan luar dari kawasan Kapit seperti Kuching dan Sibu.
“Tempoh pembuatan memang mengambil masa yang lama sehingga ada yang mencecah sebulan, terutama sekali ketika membuat Tangu (Marik Empang, aksesori Iban).
“Tempahan selalunya tinggi menjelang sambutan Hari Gawai Dayak. Pelanggan lazimnya akan menempah sebulan lebih awal,” jelasnya lagi.
Mengakui perniagaannya terjejas ketika pandemik COVID-19, Penny telah menggunakan masa yang ada untuk menghasilkan banyak stok kraf tangan manik untuk dijual selepas pandemik reda.
Penny mendedahkan pendapatan bulanannya kini mencecah tidak kurang dari RM1,000 sebulan.
“Pernah satu ketika itu produk kraf tangan saya diborong dalam jumlah yang banyak dan saya mampu mencapai keuntungan sehingga lebih RM2,000.
“Harapan saya selepas menyertai ekspo ini, produk-produk saya akan lebih dikenali orang dan saya juga berharap jabatan-jabatan berkaitan boleh membawa ramai lagi usahawan seperti kami menyertai ekspo sebegini, mungkin sehingga keluar dari Sarawak,” katanya. – TVS