KUCHING, 15 Nov: Gaya hidup kaum Kenyah yang erat dengan hutan dan alam semula jadi mendorong terciptanya kraf tangan unik yang mampu menjana pendapatan golongan suri rumah.
Pengusaha kraf tangan dari Belaga, Jane Kiong berkata pengusaha kraf tangan kaum itu kini melangkah ke hadapan dalam bidang berkenaan dengan sokongan Expo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) anjuran Jabatan Hutan Sarawak.
“Kami biasanya memberikan bahan mentah seperti rotan, mengkuang dan sebagainya kepada golongan wanita yang terlibat dalam proses anyaman bakul.
“Pada masa sama, kami memberikan sokongan dari segi promosi dan penjualan produk mereka. Selain itu, kami memberi bayaran gaji kepada mereka bagi kerana meluangkan masa, tenaga dan usaha mereka,” katanya kepada TVS di sini, baru-baru ini.
Jane merupakan salah seorang usahawan kraf yang menyertai Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu yang kini berlangsung di Plaza Merdeka hingga 19 November.
Jane turut berharap melalui pembabitannya, pengusaha kraf tangan berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi.
“Kami juga memberikan sokongan kepada penduduk kampung, komuniti tempatan kita dengan membeli produk hasil ciptaan mereka.
“Kami menyokong mereka dengan membeli produk tersebut dan menjualnya, sama ada di Kuching atau Bintulu.
“Apabila terdapat kerjasama dengan jabatan-jabatan seperti Jabatan Perhutanan, kami dapat membawa produk mereka dari kampung untuk dijual di luar,” tambahnya.
Jane Kiong, yang berasal dari Rumah Badang, Sungai Asap Belaga, berkata pihaknya sentiasa menyediakan peluang, seperti kursus asas untuk melengkapkan masyarakat agar dapat menjadi usahawan pelancongan dan bekerjasama dengan peniaga tempatan.
“Untuk mengasah bakat anyaman, kami menyediakan kursus dengan kerjasama agensi kerajaan.
“Selain itu, kita juga menyertai kursus pemasaran untuk mengukuhkan lagi ilmu pengetahuan mejual beli bagi menyokong perniagaan kami sebagai pengusaha kraf tangan,” ujarnya. – TVS