MUKAH, 15 Nov: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandu isterinya bertembung dengan kereta lain di Kilometer 3 Jalan Oya-Mukah di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pada jam 4.20 petang itu, mangsa dikenali sebagai Khusairy Hussien, 43, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Mukah.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Ativa bergerak dari arah bandar Mukah manakala kereta jenis Hyundai Accent bergerak dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun bergerak lurus dari arah Mukah telah melanggar sebuah kereta yang bergerak dari arah Oya yang secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Akibat itu, kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Mukah untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun, Pegawai Perubatan Hospital Mukah telah memaklumkan bahawa penumpang kereta Hyundai yang mengalami cedera parah di bahagian badan telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan pada jam 5.34 petang,” jelasnya.
Muhamad Rizal berkata, dua pemandu kereta terbabit masing-masing cedera parah termasuk isteri mangsa berusia 43 tahun mengalami cedera parah di bahagian rusuk kiri dan pemandu lelaki berusia 31 tahun mengalami cedera parah di bahagian kaki kanan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS