KUCHING, 14 November: Dua wira bina badan kelahiran Sarawak, Dr Malvern Abdullah dan Philomena Dexclyn mengharumkan nama negara dengan menyumbang pingat menerusi Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2023 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Malvern meraih pingat perak untuk kategori Men’s Athletic Physique Up To 160cm manakala Philomena meraih pingat gangsa bagi kedua-dua kategori Women’s Sport Physique Up To 165cm dan Women’s Ladies Sport Physique (35 tahun ke atas).
Menurut Malvern, dia sangat teruja dengan kejayaan diperoleh dalam kejohanan bertaraf dunia terbabit.
“Saya telah memenangi pingat perak dan berasa bangga dapat menyumbang pingat kepada Malaysia, ini adalah pingat perak kelima yang telah saya peroleh sepanjang menyertai Kejohanan Dunia ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini.
Sementara itu, Philomena juga turut meluah rasa gembira yang tidak terhingga dan menghargai segala sokongan yang diberikan kepada dirinya serta rakan sepasukan.
“Saya amat gembira dan estatik kerana ini telah mengesahkan semua latihan, pengorbanan dan juga masa saya yang telah diluang untuk persiapan Kejohanan Dunia ini dan saya sangat menghargai semua sokongan yang telah diberikan kepada rakan sepasukan kami. Kami berharap akan terus menerima sokongan dan insentif daripada kerajaan,” katanya.
Turut hadir menyambut ketibaan mereka, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.
Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) turut berbangga dengan kejayaan dicapai atletnya yang ‘tidak pernah mengecewakan’.
“Sarawak memang boleh, kami berharap pihak berkuasa akan dapat menumpukan perhatian dan beri lebih banyak sokongan dalam sukan ini.
“Kita harus asah ahli bina badan kita dan saya yakin bahawa Sarawak tidak akan pernah kekurangan ahli-ahli sukan,” ujarnya.
Untuk rekod, Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2023 telah dianjurkan oleh Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia (WBPF) secara tahunan itu mengumpulkan hampir 400 atlet dan 150 pegawai mewakili 40 buah negara. – TVS