Sibu, 24 Jun – Seorang duda ditemui mati dalam keadaan tergantung dalam bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Oya Lama, Sibu.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berusia 34 tahun itu bersama anak lelaki berusia tujuh tahun dalam rumah tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit, sebelum kejadian, anak si mati telah menghubungi nenek kepada bapanya untuk mengambilnya di rumah tersebut.
Setibanya di rumah, neneknya menemukan si mati berada dalam keadaan tergantung pada tali nilon yang diikat pada besi jeriji tingkap dan dibalut dengan sehelai kain pada bahagian dagu di bilik atas dengan hanya memakai seluar dalam.
“Nenek si mati bertindak memotong tali dengan pisau dan membuka ikatan tali nilon yang menjerut leher si mati,” jelas Stanley.
Difahamkan, bantuan pernafasan juga dilakukan untuk menyelamatkan si mati namun usaha itu gagal.
Pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan kematian mangsa kira-kira jam 4.30 petang.
Siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah yang dikaitkan dengan kematian mangsa.
Mayat si mati kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan menunggu keputusan ujian COVID-19.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.