KUALA LUMPUR, 14 Nov: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah meluluskan permohonan untuk menubuhkan empat buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu di Perak, Sabah, Sarawak dan Terengganu.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini selaras dengan sokongan terhadap Dasar Warga Emas Negara yang mahu mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat dan positif.
Parlimen: KPWKM sasar tubuh lebih banyak pusat warga emas di seluruh negara
Kata beliau, sehingga Oktober 2023, sebanyak 161 buah PAWE telah ditubuhkan dan beroperasi di seluruh negara dengan penyertaan lebih 50,000 ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa dan sosioekonomi.
“Pada masa ini, pihak yang berhasrat untuk menubuhkan PAWE di kawasan mereka, boleh mengemukakan cadangan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (Pakatan Harapan – Taiping) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Selepas cadangan dikemukakan jelas Nancy, perkara berkenaan akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti bilangan warga emas, lokasi, pemilihan premis dan komuniti penggerak.
“Sokongan KPWKM berhubung perkara ini adalah seiring dengan usaha untuk meluaskan capaian perkhidmatan ini dan memberikan warga emas akses kepada kemudahan fasiliti untuk menjalankan aktiviti atau program dalam komuniti sambil kekal aktif dan produktif,” kata Nancy lagi. -TVS