KUCHING, 13 Nov: Sarawak Energy akan menjalankan ujian rutin penting terhadap stesen amaran banjirnya di Lubok Antu pada 15 November ini.
Sarawak Energy berkata, komuniti di sekitar Lubok Antu diingatkan agar tidak panik sepanjang tempoh pelaksanaan ujian tersebut.
“Inisiatif ini adalah sebahagian komitmen untuk mengekalkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan sambil menyelaraskan program tindak balas kecemasan mereka dengan piawaian antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Stesen amaran banjir di Lubok Antu dijangka akan melaksanakan ujian tersebut bermula pada 10 pagi dengan mengaktifkan bunyi amaran yang seketika dan berterusan selama satu sehingga dua minit setiap masa.
Ujian tersebut dijangka tamat pada 5 petang.
Bunyi amaran boleh didengari dalam radius tiga kilometer dari setiap stesen amaran banjir.
“Pengaktifan bunyi amaran kecemasan akan diaktifkan beberapa kali dan tiada jumlah tetap dan ia bergantung kepada proses kerja atau ujian,” katanya. – TVS