Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sambutan Deepavali sederhana tetapi meriah di Limbang. Foto: TVS

Ketepi rindu bersama keluarga rai Deepavali demi rawat pesakit

LIMBANG, 13 Nov: Demi tugas dan khidmat kepada masyarakat, doktor mata ini terpaksa mengenepikan perasaan rindu seketika meraikan Deepavali bersama keluarga tersayang tahun ini.

Itu pengorbanan murni satu-satunya doktor mata di Hospital Limbang pada masa ini, Dr Daya Nandan, 31, yang bertugas semasa Deepavali kerana tiada doktor ganti untuk rawatan mata, selain mempunyai temujanji dengan pesakit mata.

Beliau yang bertugas di Hospital Limbang lebih empat tahun hanya berpeluang meraikan sambutan Deepavali bersama keluarga tahun lepas dan memilih untuk bertugas tahun ini dengan meraikan bersama rakan-rakan India di Limbang.

Doktor mata Hospital Limbang, Dr Daya Nandan. Foto: TVS

“Saya tak dapat balik kali ini kerana ramai pesakit mata yang ada masalah mata dan kritikal, tetapi disebabkan saya seorang saja doktor mata di sini, membantu mereka lebih penting bagi saya,” katanya ketika ditemui media pada sambutan rumah terbuka perayaan Deepavali bersama rakan-rakan di Restoran Daya Curry House Limbang yang menyajikan makanan India muslim milik Jaafar Aziz, hari ini.

Katanya, meskipun berjauhan bersama keluarga, perayaan Deepavali yang dirai hari kedua pada Isnin tetap meriah dengan kehadiran rakan-rakan India dan rakan-rakan lain yang berlainan agama dan budaya, selain dimeriahkan dengan kehadiran keluarga besar Hospital Limbang.

Jelasnya lagi, pemberian cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan menganut agama Hindu yang berkhidmat di Sarawak, satu hadiah paling bermakna buatnya  yang beragama Hindu.

Jelasnya, pemberian cuti tanpa rekod sempena Deepavali itu hadiah bermakna Deepavali, selain satu penghargaan kepada penganut agama Hindu keseluruhannya.

“Sambutan Deepavali di Semenanjung lebih meriah kerana dirai bersama keluarga. Selain itu, meraikan Deepavali di Sarawak tahun ini kerajaan telah memberikan cuti tanpa rekod untuk kita, ini bukan saja tentang cuti tetapi ia menunjukkan penghargaan kepada penjawat awam berbangsa India yang berkhidmat di Sarawak. Kami sangat menghargai pemberian cuti ini,” katanya lagi.

Bagi jururawat kanan Hospital Limbang yang berbangsa Lun Bawang, Sulumah Dali, 58, perayaan Deepavali amat dinantikan bagi menunjukkan bakat menyajikan sajian India kepada suaminya yang berbangsa India sejak lebih 20 tahun lalu.

Jelasnya, hasil perkahwinan campur dia dan suami mempunyai dua orang anak perempuan dan sehingga kini masih mempelajari selok belok budaya India.

Jururawat Kanan Hospital Limbang, Sulumah Dali. Foto: TVS

“Saya sebenarnya berbangsa Lun Bawang tetapi sudah berkahwin dengan suami saya berbangsa India. Melalui perkahwinan campur ini, saya banyak belajar selok-belok budaya suami saya, adat resam dan terutamanya berkaitan dengan perayaan diraikan,” ujarnya.

Seperti perayaan lain, kata Sulumah perayaan Deepavali tidak banyak beza, cuma perbezaan yang agak ketara daripada segi makanan.

Katanya, menjelang Deepavali dia agak tidak menang tangan menyediakan juadah India yang menjadi kesukaan suami tersayang seperti nasi briyani, kuah dalca, muruku, papadom dan kari daging.

Sementara itu, Pengarah Hospital Limbang, Dr Syed Satahkatulah Mohamed Kalik turut jatuh cinta dengan keunikan sambutan Deepavali di Sarawak yang dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kaum dan budaya.

Pengarah Hospital Limbang, Dr Syed Satahkatulah Mohamed Kalik. Foto: TVS

“Saya rasa sangat teruja kerana hari ini adalah sambutan hari Deepavali yang kedua saya meraikan bersama dengan warga-warga India di Limbang sendiri. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Daya Nandan yang menjemput saya juga.

“Bagi saya ini adalah satu pengalaman yang sangat unik, di mana saya pernah meraikan bersama kawan-kawan yang bukan saja berasal di Limbang, malahan di luar negara, Semenanjung dan Singapura. Namun begitu, di sini pastinya menjadi satu sejarah kerana di Limbang saya tengok banyak masyarakat majmuk,” ujarnya.

Pada masa sama katanya, meskipun di Sarawak dia masih berpeluang merasai sajian India sebenar seperti yang dinikmati di Semenanjung, selain berkongsi budaya dengan pelbagai masyarakat majmuk di negeri ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan