KUCHING, 13 Nov: Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) Taska bakal diperketatkan sebagai langkah proaktif untuk membendung kes kanak-kanak tertinggal dan maut di dalam kereta berulang akibat kecuaian ibu bapa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kes tersebut telah berlaku sebanyak tiga kali sejak Oktober lepas.
Menurutnya, melihat kepada perkata tersebut, pihaknya perlu mengambil langkah untuk meningkatkan kawalan pada SOP Taska untuk meningkatkan kepekaan para ibu bapa serta menjejaki kanak-kanak tersebut dalam tempoh masa yang lebih singkat.
“Sekarang ini dalam masa bulan lepas sehingga bulan ini ada tiga kes kanak-kanak tertinggal di dalam kereta. Saya juga ditekan untuk membuat sesuatu walaupun itu bukan di bawah kita tapi sekarang kita akan tambah dalam SOP kita.
“Ia bertujuan agar apabila emak atau bapa yang tidak biasa menghantar anak dia ke Taska, mereka akan lebih peka setelah mendapat panggilan tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Bersama Media di sini, malam tadi.
Antaranya SOP yang bakal ditetapkam adalah pihak Taska perlu membuat panggilan kepada ibu bapa kanak-kanak untuk memastikan keberadaan anak murid mereka.
Tambah Nancy, nombor ahli keluarga yang terdekat juga perlu disertakan sekali untuk membolehkan pihak Taska menghubungi mereka sekiranya ibu bapa tidak dapat dihubungi.
“Setakat ini lebih kepada memastikan mereka dapat dihubungi tetapi sekiranya mereka ini tidak dapat dihubungi maka nombor kedua perlu ada bagi membolehkan kita menanyakan keberadaan kanak-kanak tersebut.
“Mungkin boleh berikan nombor ahli keluarga terdekat sebagai nombor kecemasan. Perkara ini perlu kita ketatkan dari segi SOP,” jelasnya.
Ahli Parlimen Santubong itu berkata, pihaknya juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak sejak 1 September 2023 bagi menumpukan fokus kepada kanak-kanak yang kini masih berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana proses pindaan akta perlu dilakukan terlebih dahulu dan hanya boleh berdiri sebagai sebuah jabatan baharu pada 2026.
“Ini kerana proses pengambilan untuk beberapa jawatan turut sedang giat dilaksanakan sebab pada masa ini, kita tidak punya jawatan yang mencukupi. Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak hanya mampu berdiri sendiri pada tahun 2026.
“Ia disebabkan kita perlu meminda akta kerana sekarang ini Ketua Pengarah untuk Kebajikan Masyarakat adalah secara menyeluruh adalah di bawah ketua pengarah yang sama iaitu untuk JKM. Jadi, kita perlu pinda undang-undang dan ada beberapa undang-undang lain yang berkaitan juga,” ujarnya. -TVS