LUNDU, 11 Nov: Elaun khas dicadangkan bagi menjaga kebajikan golongan yang terpaksa berhenti kerja menjaga ahli keluarga yang sakit.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, setakat ini kementerianya hanya menyediakan elaun sebanyak RM500, namun peruntukan itu hanya diberikan untuk kegunaan ahli keluarga yang sakit.
“Kalau dia menjaga emak atau bapanya, dia menjaga pesakit di rumah itu yang menjaga itu akan dibayar RM500 bukan untuk dia tetapi untuk yang dijaga.
“Tetapi mereka tidak ada pendapatan. Apa terjadi kalau orang itu sudah meninggal? Elaun daripada kita tidak boleh lagi diberi lagi, tetapi kita kena mencari jalan membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Pembangunan Komuniti: Smart Nutrient Film Techniques (NFT) Hydroponic di Pusat Latihan Salcra Bajo di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Santubong itu berharap Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan elaun khas itu diberikan sama seperti yang telah dilakukan di negeri Selangor di mana elaun sebanyak RM1,000 diberikan kepada golongan yang terpaksa berhenti kerja dan menjaga ahli keluarga yang sakit.
“Saya sekarang ini cuba mencari jalan bagaimana kerajaan boleh memberi elaun dan saya harap Kerajaan Sarawak dapat buat kerana untuk melakukannya di seluruh negara agak sukar tetapi perlu diusahakan di mana kita dapat membayar orang yang menjaga di rumah seperti memasak dan sebagainya,” jelasnya.
Seramai 20 peserta dari 13 buah kampung di kawasan Lundu mengikuti kursus latihan penanaman secara hidroponik anjuran Sarawak Skills dengan tajaan Yayasan Hasanah bermula sejak 6 Oktober lalu. -TVS