KUCHING, 7 Nov: Sarawak menjadi tuan rumah Persidangan Makanan dan Masyarakat yang akan diadakan di Kuching mulai 15 hingga 18 November ini.
Persidangan dua tahun sekali di negara yang berbeza merupakan satu ilham rangkaian kajian makanan Asia Pasifik yang ibu pejabatnya terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Sarawak bertuah dipilih menjadi tuan rumah bagi persidangan yang bertemakan ‘sustainable and inclusive food system’.
Jelasnya, Sarawak merupakan negeri yang sesuai dengan tema tersebut melihat kepada negeri ini yang kaya dengan hasil bumi dan keterangkuman sosialnya.
“Kita amat bertuah kerana Sarawak dipilih menjadi tuan rumah yang pertama selepas wabak COVID-19.
“Tema persidangan tahun ini ialah sistem makanan mampan dan inklusif dan Sarawak ialah negeri yang berketerangkuman sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan Keempat Makanan dan Masyarakat di Kuching hari ini.
Tambah Snowdan, sebanyak 20 peratus pembentangan akademik sepanjang persidangan tersebut akan dilaksanakan oleh pakar ilmuan dari Sarawak sendiri.
“Persidangan Makanan dan Masyarakat akan membabitkan 22 pembentangan individu, empat bengkel, satu pembentangan panel, satu perbincangan meja bulat dan dua demontrasi masakan.
“Itu akan menarik untuk disaksikan, saya juga berbangga untuk mengatakan bahawa kira-kira 20 peratus daripada pembentangan akademik akan dikendalikan oleh cendekiawan Sarawak kita sendiri,” ujarnya.
Untuk rekod, kali terakhir Persidangan Makanan dan Masyarakat dianjurkan pada tahun 2019 di La Sorbonne University di Paris, Perancis.
Persidangan kali ini akan melibatkan pakar dan ahli akademik dari 14 buah negara.
Ia terdiri daripada Malaysia, Perancis, Itali, Sepanyol, Senegal, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, Indonesia, Vietnam, China, Peru dan juga Brazil. – TVS