KUCHING, 7 Nov: Hutan simpan kekal akan terus dijamin oleh Kerajaan Negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya atau Totally Protected Area (TPA) dalam memulihara flora dan fauna di negeri ini termasuk Hutan Jemoreng.
Melalui penglibatan komuniti setempat dan para penyelidik sebelum ini, hasil penemuan dan penyelidikan mereka mengenai pemuliharaan sumber biologi di Hutan Jemoreng ini akan memberi jaminan kesedaran konservasi antara alam dan komuniti setempat.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, melalui hasil dapatan ini, pihaknya akan terus mengadakan Program Kesedaran Hutan Simpan Kekal atau Permanent Forest Estate (PFE) bagi menyampaikan faedah dan kepentingan Hutan Jemoreng yang berperanan sebagai salah satu kawasan hutan penting di Sarawak.
“Pelbagai usaha konservasi telah dilaksanakan oleh Jabatan Hutan bagi memastikan kawasan hutan atau habitat di dalam PFE dipelihara dan diurus secara mampan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Ekspedisi Saintifik Jemoreng 2023 di Hotel UCSI di sini, hari ini.
Tambahnya, Jabatan Hutan Sarawak turut giat menjalankan program perhutanan sosial yang melibatkan komuniti-komuniti tempatan dalam pengurusan dan pemuliharaan hutan bagi memberi pendekatan inklusif dalam aspek ekopelancongan.
“Jabatan Hutan Sarawak menjalankan program perhutanan sosial melibatkan komuniti tempatan dalam pengurusan dan pemuliharaan hutan. la juga mengiktiraf saling kebergantungan antara manusia dan hutan serta menekankan pendekatan inklusif dan penglibatan komuniti untuk pembangunan mampan.
“Selain itu, Jabatan Hutan Sarawak juga turut melibatkan aspek ekopelancongan di dalam PFE. Perkara ini selaras dengan pindaan Forest Ordinance 2015 dengan memasukkan kategori hutan ameniti sebagai hutan simpan kekal. Pihak jabatan berharap selain daripada TPA, hutan ameniti turut membantu masyarakat dalam meningkatkan taraf ekonomi dengan penglibatan di dalam aktiviti ekopelancongan nanti,” katanya lagi.
Seminar yang berlangsung dua hari dari 7 hingga 8 November 2023 itu melibatkan seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti agensi-agensi negeri dan persekutuan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi serta komuniti Kampung Jemoreng dan kampung yang berada di sekitarnya. – TVS