KUCHING, 7 Nov: Lebih 250,000 unit rumah mampu milik siap dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Menurutnya, kerajaan mensasarkan untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik menerusi RMK-12.
“Pemilikan rumah di seluruh negara kini mencapai 77 peratus,” katanya berucap pada Forum Perbandaran Malaysia (MUF) 2023 di sini, hari ini.
Antara projek rumah mampu milik yang dilaksanakan di sini ialah seperti Residensi Bintawa Waterfront dengan 1320 unit rumah mampu milik telah siap.
Jelasnya, matlamat penyediaan rumah mampu milik memberi tumpuan terhadap kualiti, kemampuan, keselamatan dan kebolehdiaman.
Kor Ming berkata, kementeriannya berhasrat bertekad menyediakan lebih banyak program rumah mampu milik di seluruh negara, selaras dengan Dasar Perumahan Negara.
Katanya lagi, sinergi di antara pihak kerajaan dan swasta diperlukan bagi menyediakan dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.
“Menyediakan tempat tinggal yang mencukupi adalah usaha kolektif dan tanggungjawab bersama, melibatkan kedua-dua sektor kerajaan dan swasta untuk memartabatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan untuk rakyat Malaysia,” katanya. – TVS