KUCHING, 8 Nov: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) komited terhadap pembangunan modal insan menerusi pembinaan kampus Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Bintulu, Sarawak.
Pembinaan kampus tersebut yang bakal beroperasi mulai Mac 2024 sejajar dengan hasrat untuk meransang minat pelajar dalam bidang kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS Farehana Hanapiah, berkata ketersediaan tenaga kerja yang mahir adalah penting untuk menyokong peralihan industri tenaga dan sektor minyak dan gas ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan, teknologi dan inovasi terutamanya di Sarawak.
Beliau menekankan bahawa cabaran pada masa hadapan memerlukan para pelajar untuk menjadi pencipta produk dengan penguasaan dalam bidang STEM.
“Di Sarawak, pelaburan dalam teknologi akan menjadi sangat penting kerana Sarawak mempunyai banyak sumber semulajadi yang memerlukan lebih banyak jurutera dan saintis untuk mencipta penyelesaian dan teknologi inovatif.
“Tenaga kerja mahir ini akan memastikan kelestarian tenaga kerja yang akan menyokong ekonomi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Bintulu, baru-baru ini.
MRSM Bintulu yang bakal menempatkan 450 pelajar merupakan kampus yang keempat dibina di Sarawak selepas MRSM Kuching, Mukah dan Betong.
Selain itu, beliau berharap bahawa penempatan kampus dengan kos RM122 juta ini juga akan membantu pelajar tempatan menyertai bidang industri minyak dan gas.
“Kami mempunyai bilik seminar, makmal yang dilengkapi sepenuhnya dengan peralatan terkini, tetapi kami juga telah bekerjasama rapat dengan MRSM. Mereka juga komited membawa guru terbaik mereka untuk menjadi sebahagian tenaga pengajar.
“Seperkara lagi yang membantu seluruh proses ini ialah bahawa kami sangat dekat dengan industri-industri di Bintulu,” katanya.
Farehana berkata lagi, PETRONAS juga menyediakan biasiswa bagi menggalakkan pendidikan dan pembangunan modal insan mereka.
“Selain biasiswa selepas tamat SPM, kami juga mempunyai program seperti Skim Pekerjaan Graduan (GES) yang membolehkan graduan muda yang menganggur mendapatkan pembangunan dan pendedahan yang sesuai.
“Kami juga bekerjasama dengan institusi TVET yang akan membantu kami membangunkan bukan sahaja graduan tetapi juga pekerja mahir daripada industri tenaga dan industri minyak dan gas,” ujarnya. – TVS