KOTA SAMARAHAN, 6 Nov: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) banyak membantu Kerajaan Sarawak melaksanakan pembangunan di kawasan luar bandar selama tiga dekad kewujudannya di Bumi Kenyalang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dilaksanakan menerusi beberapa program antaranya Tanggungjawab Sosial Universiti (USR), Service Learning Malaysia KPT (SULAM), Dana Lestari, Knowledge Transfer, Technology Transfer dan Sustainability Initiatives serta Program KPT Prihatin Madani.
“Saya amat berbangga kerana UNIMAS begitu menekankan pemerkasaan komuniti di kawasan luar bandar, melalui pelbagai pelan strategik dan juga projek berasaskan komuniti yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-27 di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, program-program tersebut memberi ruang dan peluang untuk mewujudkan jaringan kerjasama dengan keterlibatan komuniti menerusi pendidikan, penyelidikan dan inovasi teknologi yang memberi impak signifikan terhadap kehidupan masyarakat.
Dalam pada itu, Abang Johari menambah cabaran terbesar dalam membangunkan sebuah negeri terbesar di Malaysia adalah untuk mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Justeru, dalam usaha merapatkan jurang tersebut, Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan beberapa projek infrastruktur berskala besar.
“Antaranya rangkaian jalan raya bagi mempercepatkan ekonomi dan pelaburan di kawasan luar bandar yang kaya dengan sumber alam.
“Untuk menyokong pembangunan berterusan di Sarawak yang meliputi kawasan hampir setara dengan Semenanjung Malaysia, kita turut berhasrat untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik di negeri ini yang juga akan beroperasi ke destinasi-destinasi terpilih di rantau Asia,” jelas beliau.
Abang Johari yakin perancangan tersebut akan memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri dengan meningkatkan aksesibiliti ke destinasi-destinasi menarik di Sarawak dan Borneo secara amnya.
Seramai 3,897 graduan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini yang bermula hari ini hingga 9 November ini.
Sidang pertama hari ini melibatkan 543 orang graduan siswazah iaitu 64 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah, 454 orang penerima Ijazah Sarjana dan 25 orang graduan daripada Diploma Pascasiswazah Pendidikan UNIMAS. -TVS