Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Graduan warga Palestin, Hanan Kamel Mohammed Saad menunjukkan sijil yang diterima pada Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin Ke-15 hari ini. Foto: Bernama

Graduan Palestin hadir majlis konvokesyen tanpa keluarga tercinta

ByBernama

KUALA NERUS, 5 Nov: Hanya mesej yang mengandungi kata-kata semangat di telefon bimbit menemani graduan Ijazah Kedoktoran dari Palestin, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, naik ke pentas menerima skrol di majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-15, di sini hari ini.

Ibu, bapa serta ahli keluarga Hanan Kamel tidak dapat hadir menyaksikan majlis konvokesyennya disebabkan konflik yang melanda negaranya ketika ini.

Walaupun sedih kerana tidak dapat meraikan kejayaannya bersama mereka yang tercinta, namun Graduan Fakulti Sains Kesihatan itu tetap bersyukur kerana keluarganya tetap “hadir” mengucapkan tahniah dan mendoakan keselamatannya di Malaysia melalui pesanan yang dihantar menerusi telefon.

“Kali terakhir saya berhubung dengan keluarga adalah pada semalam melalui Facebook dan Instagram. Kami tidak dapat berhubung dengan kerap kerana talian Internet di sana sangat lemah. Mereka juga terpaksa mengehadkan perbualan kerana terpaksa sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga.

Buat masa ini, saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat untuk kembali berbakti di Palestin dan akan mencari kerja di Malaysia. Harapan saya semoga dapat bertemu semula dengan keluarga suatu hari nanti,” katanya yang memiliki 12 orang adik-beradik ketika ditemui di UNiSZA, di sini.

Bagaimanapun, Hanan Kamel bersyukur kerana semua anggota keluarganya masih selamat walaupun terpaksa menumpang di rumah jiran dan saudara-mara yang lain setelah kediaman mereka terkesan dengan perang Israel-Palestin itu.

Sementara itu, seorang lagi graduan doktor falsafah dari bumi Palestin, Saber T R Syouri, 50, malangnya terpaksa melupakan hasrat menghadiri majlis konvokesyen yang bersejarah itu setelah terperangkap dalam situasi yang berbahaya di Tebing Barat ketika ini.

Menerusi sebuah tayangan video yang disiarkan pada majlis tersebut, beliau turut berkongsi berita duka kehilangan beberapa anggota keluarganya termasuk anak lelaki dan anak perempuannya dalam konflik terbaharu yang bermula pada 7 Oktober lepas itu.

“Terima kasih kepada Terengganu dan UniSZA. Saya minta maaf kerana tak dapat menghadiri konvokesyen kerana situasi yang amat berbahaya pada masa sekarang,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan