JEPAK, 5 Nov: Setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Iskandar Turkee akan memulakan tugasnya dengan melihat kembali hala tuju kawasan pinggir bandar itu sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak itu berkata, ia merupakan perkara pertama yang akan dilakukannya bagi memastikan segala perancangan oleh mantan ADUN Jepak, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip dapat diteruskan.
“Sebaik sahaja saya angkat sumpah nanti, saya akan pergi ke pejabat pusat khidmat saya untuk melihat kembali hala tuju yang terdahulu oleh Allahyarham Datuk Talib Zulpilip dan akan meneruskan perancangan tersebut.
“Selain itu, jika adanya perancangan oleh Kerajaan Sarawak, maka kita akan laksanakan bersesuaian dengan keperluan penduduk di DUN Jepak ini,” katanya ketika ditemui TVS di Dewan Suarah Bintulu, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya, Iskandar memberi penghargaan kepada keempat-empat parti komponen dalam GPS yang telah bertungkus lumus sepanjang 14 hari tempoh berkempen bagi memastikan dirinya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh gabungan itu.
Iskandar cemerlang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dengan meraih majoriti 8,784 undi.
Beliau berjaya menewaskan dua pencabar yang lain selepas meraih 9,638 undi berbanding calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang yang memperoleh 854 undi. – TVS