Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
NASI BERLAUK ‘LOCKDOWN’ RM1.50 BANTU PENDUDUK TERKESAN PANDEMIK

Nasi Berlauk ‘LOCKDOWN’ RM1.50 Bantu Penduduk Terkesan Pandemik

TUMPAT, 23 Jun (Bernama) — Menyedari kepayahan hidup yang terpaksa diharungi penduduk akibat penularan pandemik COVID-19, seorang ibu tunggal mengambil inisiatif berniaga sambil bersedekah apabila menjual ‘nasi berlauk’, hidangan popular di Kelantan, pada harga RM1.50 sebungkus.  

Siti Suhada Salleh, 34, berkata dia mula berniaga nasi berlauk yang menawarkan pilihan lauk ikan atau ayam gulai sejak sekatan pergerakan penuh (lockdown) dilaksanakan pada awal bulan ini.

Dia yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat pengeluar penulen udara dan penapis air, memutuskan untuk berniaga bagi mencari pendapatan selepas tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.  

“Pada awalnya, saya hanya berniaga nasi berlauk ini dengan menjajanya di sekitar kawasan kampung dibantu oleh adik Siti Salma, 32, dengan hari pertama terjual sebanyak 40 bungkus.

“Namun hari kedua berniaga, saya mendapat sambutan di luar jangkaan iaitu sebanyak 80 bungkus selain ada juga pelanggan membeli untuk disedekahkan kepada orang miskin,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Alor Tal, di sini hari ini. 

Bercerita lanjut, ibu kepada dua anak itu berkata permintaan semakin bertambah, terutama selepas kisahnya tular, sekali gus membuatkan dia memutuskan untuk berniaga di depan rumah bagi memudahkan penduduk datang membeli.

Katanya dia memulakan persiapan untuk jualan pada tengah malam dan membungkus nasi pada 3 pagi sebelum perniagaan dibuka pada 7 pagi hingga nasi habis dijual, kebiasaannya sekitar 9 pagi.

“Sekitar lima hingga 10 ekor ayam dan dua kilogram ikan diperlukan setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Selain nasi berlauk ikan atau ayam gulai, saya juga menjual nasi lemak sebagai menu tambahan dengan harga RM2 berserta lauk ayam goreng,” katanya yang meraih nilai jualan sekitar RM500 sehari.

Seorang pembeli Faizal Sidik, 45 dari Kampung Wakaf Bharu, berkata dia ingin mencuba nasi berlauk yang murah itu selepas menerima perkongsian mengenainya melalui media sosial.

“Setakat ini tiada tempat lain yang menjual nasi berlauk ikan atau ayam gulai pada harga RM1.50 ini,” katanya.

Sebelum ini kisah nasi berlauk Siti Suhada tular dan meraih pujian netizen yang mengatakan harga itu hanya boleh didapati di Kelantan.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan