JEPAK, 4 Nov: Polis Sarawak menerima lima laporan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, laporan yang diterima pihaknya antaranya adalah berkenaan dengan kehilangan bendera parti dan tiada laporan berkaitan perjudian undi mahu pun provokasi.
“Sejak bermulanya proses penamaan calon sehingga ke hari pengundian, semuanya berjalan dengan lancar dan terkawal dengan tiada sebarang gangguan.
“Dalam tempoh kempen PRK ini, kita terima lima laporan yang ‘ringan’, salah satunya melibatkan laporan kehilangan bendera,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Suarah, Bintulu, petang ini.
Mengulas lanjut, Mancha berkata, keadaan ketenteraman awam pada PRK berada dalam keadaan baik dan tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Diharapkan suasana sebegini akan berterusan sehingga proses PRK ini selesai,” katanya. – TVS