KATHMANDU, 4 Nov: Sekurang-kurangnya 128 orang maut akibat gempa bumi kuat di Nepal pada Jumaat malam, menurut polis di ibu negara Kathmandu, manakala berpuluh-puluh lagi cedera.
Seorang wakil pentadbiran tempatan di daerah Jajarkot, berhampiran pusat gempa berkata jumlah mangsa mungkin terus meningkat.
Angka yang disahkan mengenai kematian atau kecederaan daripada beberapa kawasan terjejas gempa bumi pada awalnya tidak tersedia.
Menurut Pusat Pemantauan Gempa Bumi Kebangsaan (NEMRC), gempa pada pukul 11.47 malam (1802 GMT) itu bermagnitud 6.4.
Kajian Geologi AS menetapkan magnitud gempa bumi itu pada 5.6.
Kawasan itu mengalami sekurang-kurangnya tiga gegaran susulan beberapa jam kemudian dengan magnitud sekurang-kurangnya 4.2.
Gempa bumi itu turut dirasai sejauh New Delhi, di India, lapor Agensi Berita Jerman (DPA) memetik The Times of India dan beberapa laporan media tempatan. – TVS