TANJUNG MANIS, 4 Nov: Dua nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di sini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis dalam satu operasi pada Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, tangkapan sekitar jam 11.34 pagi itu dibuat hasil aduan komuniti maritim di kawasan itu sebelum serbuan dilakukan ke atas bot nelayan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, terdapat seorang tekong dan seorang awak-awak warga tempatan berumur dalam lingkungan 42 hingga 43 berada di atas kapal terbabit.
“Sebagai tindakan susulan, peralatan menangkap ikan, pukat tunda dan bot ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 seterusnya dibawa ke Jeti Terminal Tanjung Manis untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan yang berkaitan.
“Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 010-5063293 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – TVS